KESAN pembedahan mengganti sendi yang dilakukan
Vasantha enam tahun lalu.
KESAKITAN yang dilaluinya ketika berusia awal 30-an
sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah kekecewaan
akibat dilanda penyakit secara tiba-tiba menyebabkan
dia sukar melakukan kerja. Namun bertemankan
sokongan suami serta semangat yang ada pada dirinya,
Vasantha meneruskan kehidupan.
Segala-galanya bermula apabila wanita berusia 58
tahun itu mengalami tanda bengkak pada bahagian
lutut kiri. Dia menganggap sakit yang tidak
diketahui apa sebenarnya itu akan sembuh selepas
memakan ubat.
Bagaimanapun, keadaan tidak berubah. Vasantha yang
mempunyai gaya hidup aktif terpaksa menahan
kesakitan setiap kali bergerak.
Bagi mendapatkan kepastian penyakit yang dialaminya
itu, dia pergi ke klinik swasta untuk menjalani
ujian darah pada tahun 1983. Vasantha disahkan
menghidap artritis reumatoid (RA). Penderitaannya
tidak berhenti setakat itu. Kesakitan yang bermula
di lutut kiri beralih ke lutut kanan.
"Kesakitan berterusan menyebabkan saya hampir
berubah menjadi mudah putus asa akibat keadaan diri
yang kurang upaya. Walaupun terpaksa berjalan amat
perlahan, saya perlu pergi kerja seperti biasa.
Selain itu, saya terpaksa memanjat tangga setiap
hari.
"Memang keadaan sangat perit ketika itu. Sehingga
satu peringkat saya tidak boleh memutar tombol pintu
rumah. Saya juga tidak mampu memegang berus gigi
akibat sakit sendi yang menjalar ke bahagian tangan,''
katanya.
Wanita itu turut berkongsi cerita tentang betapa
sukarnya dia untuk membongkok selain tidak boleh
duduk di tandas biasa.
Namun nasib menyebelahinya lantaran dikurniakan
suami yang setia dan sentiasa memberi sokongan.
''Disebabkan sokongan suami juga saya lebih
bersemangat melawan penyakit ini," katanya ketika
mengimbau penderitaannya diserang RA hampir 20 tahun
lalu.
Vasantha kemudian menemui Pakar Runding Reumatologi
dan dia disarankan melakukan pembedahan lutut.
Pada 2004, Vasantha melakukan pembedahan ganti sendi
untuk lutut kanan. Setahun kemudian, dia melakukan
pembedahan lutut kiri. Selepas pembedahan, dia
mendapati keadaan sendinya semakin baik.
Bagaimanapun dia berasa amat sakit di pergelangan
tangan menyebabkan dia sukar untuk ke tandas.
Kerja-kerja rumah pula dilakukan oleh suaminya.
Hakikatnya penyakit RA yang dihidapi Vasantha tidak
boleh pulih sepenuhnya.
''Hingga saat ini kesakitan masih ada terutama pada
bahagian sendi tetapi sekurang-kurangnya saya sudah
boleh berjalan walaupun perlahan," ujarnya yang
berhenti kerja pada enam tahun lalu.
Vasantha masih melakukan rawatan susulan di Hospital
Serdang yang turut mendapat nasihat Pakar Perubatan
Reumatologi dan Presiden Persatuan Reumatologi
Malaysia, Dr. Muhaini Othman.
Nasihatnya pada wanita lain, perlu ada pemeriksaan
awal jika mereka mengalami tanda-tanda awal RA.
"Penyakit saya didiagnosis pada umur 38 dan kini
selepas 20 tahun saya semakin gembira dan sihat.
Mungkin saya cepat bertindak dan tidak segan silu
mendapatkan rawatan. Sebenarnya ia bergantung
kepxada seseorang. Sekarang tangan saya sudah boleh
bergerak dan saya pula membantu suami.
''Pada tahun 2006, suami saya pula terpaksa
berkerusi roda. Seperti mimpi, saya pula membantu
suami bergerak ke mana sahaja. Ini mungkin rahmat
dan dugaan yang terpaksa saya lalui. Namun, saya
gembira kerana suami sebelum ini banyak memberi
semangat kepada saya," ujarnya.
Sementara itu, Dr. Muhaini memberitahu, RA adalah
penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun
tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat
dalam badan.
"RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang
sendi kecil khususnya jari (tangan dan kaki) dan
pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi
radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya
menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup,"
jelas beliau.
Menurut Dr. Muhaini, RA boleh beransur pulih dengan
rawatan sendi yang teratur sendi dan boleh mengelak
daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya
mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup
lebih produktif antara pelan mengurus RA.